EUR/USD: Adakah Pertumbuhan Nilai Dolar Sudah Berakhir?
- Adakah lonjakan nilai dolar sudah sampai di penghujungnya? Persoalan ini semakin hari semakin jelas terjawab. Penyusutan nilai mata wang AS ini adalah berpunca daripada kenaikan kadar faedah yang dibuat oleh pihak Rizab Persekutuan. Sebaliknya, perkara ini bergantung kepada keadaan di pasaran buruh serta kadar inflasi di AS, yang akan menentukan polisi kewangan penggubal dasar tersebut.
Data yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan pasaran buruh setidak-tidaknya berada dalam keadaan yang baik. Jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) di AS adalah sebanyak 261K untuk bulan Oktober, lebih tinggi berbanding 200K yang diunjur. Walaupun jumlah tuntutan awal pengangguran dilihat meningkat, kadar pertumbuhannya adalah tidak ketara, nilai yang diunjur adalah 220K, namun jumlah sebenarnya adalah sebanyak 225K (218K sebulan lalu).
Untuk kadar inflasi, data yang dikeluarkan pada hari Khamis, 10 November rupa-rupanya adalah lebih baik jika dibandingkan dengan nilai yang diunjur serta jumlah sebelum ini. Kadar teras inflasi pengguna (core consumer inflation atau CPI) hanya naik sebanyak 0.3% untuk bulan Oktober, lebih rendah daripada 0.5% yang dijangka dan juga kadar untuk bulan September iaitu 0.6%. Kadar pertumbuhan inflasi teras tahunannya menjadi sedikit perlahan kepada 6.3% (berbanding 6.5% yang diunjur dan kadar sebulan lalu iaitu 6.6%).
Perubahan kadar CPI ini adalah yang paling perlahan sejak 9 bulan lalu dan mencadangkan beberapa siri kenaikan mendadak kadar faedah akhirnya telah membuahkan hasil yang diinginkan. Peserta pasaran dengan serta-merta memutuskan bahawa pihak Rizab Persekutan mungkin akan memperlahankan kenaikan kadar faedah mereka sekarang. Hasilnya, kadar Indeks Dolar DXY jatuh merudum, susut sebanyak 2.1%, penyusutan tertinggi sejak Disember 2015.
Kadar kebarangkalian pihak Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 75 mata asas (bp) semasa FOMC (Federal Open Market Committee) bermesyuarat pada bulan Disember nanti adalah hampir kepada sifar sekarang. Pasaran niaga hadapan menjangkakan kenaikan itu hanyalah sebanyak 50 bp. Nilai maksimum bagi kadar ini untuk tahun 2023 kini diunjur berada pada paras 4.9%, dan ia boleh dicapai pada bulan Mei nanti (unjuran minggu lalu menjangkakan kadar tertingginya adalah 5.14% dan akan dicapai pada bulan Jun).
Semua ini sudah pastinya tidak menolak kemungkinan berlakunya gelombang pengukuhan nilai dolar yang baru. Namun semuanya akan bergantung kepada situasi geopolitik serta keputusan yang diambil oleh penggubal dasar. Kebanyakan penganalisis percaya bahawa kelembapan pihak Rizab Persekutuan mengetatkan polisi kewangan (QT) mereka akan membolehkan mata wang pesaing mengatasi dolar dengan lebih efektif. Buat masa ini, bank-bank pusat di lain-lain negara cuba mengejar, namun kesuntukan masa untuk menaikkan kadar faedah mereka sepantas AS. Jika pihak Rizab Persekutuan lambat bertindak (pada satu ketika nanti, terus memperlahankan kenaikan kadarnya), bank-bank pusat lain setidak-tidaknya boleh merapatkan jurang atau mengejar rakan sejawat mereka di Amerika itu, jika pun gagal untuk mendahului.
Kami boleh mengambil Eurozone sebagai contoh di sini. Mengikut data awal Eurostat untuk bulan Oktober, kadar inflasi di sini boleh mencecah rekod sebanyak 10.7%. Hal ini berlaku walaupun pada hakikatnya pihak ECB hanya mensasarkan kadarnya sebanyak 2.0%. Oleh itu, seperti yang dinyatakan oleh ketua Bank Persekutuan Eropah iaitu Christine Lagarde, penggubal dasar itu tiada pilihan lain selain daripada menaikkan kadar faedahnya walaupun berhadapan dengan kelembapan pertumbuhan ekonomi.
Sentimen pasaran yang berubah mengakibatkan perubahan arah pergerakan pasangan EUR/USD ke atas. Ia didagangkan di zon 0.9750 minggu lalu, pada 4 November, dan menetapkan paras tertinggi mingguan pada ketinggian 1.0363 pada hari Jumaat, 11 November. Kedudukan terakhir sepanjang lima hari berada sangat hampir, pada paras 1.0357.
Kebanyakan penganalisis iaitu sebanyak 60% menjangkakan pasangan ini akan kembali bergerak ke bawah tidak lama lagi, dan hanya 10% yang mengunjurkan pergerakan ke atas. Baki 30% lagi penganalisis menunjukkan pergerakan mendatar. Gambarannya berbeza dalam kalangan pengayun pada D1. 100% pengayun adalah berwarna hijau, dan satu pertiga daripadanya berada di zon lebihan belian. Dalam kalangan indikator trend, warna hijau memiliki kelebihan: 85% menasihatkan untuk membeli pasangan ini dan 15% lagi mengesyorkan untuk jual. Sokongan terdekat bagi EUR/USD berada pada paras 1.0315, diikuti dengan paras dan zon 1.0254, 1.0130, 1.0070, 0.9950-1.0010, 0.9885, 0.9825, 0.9750, 0.9700, 0.9645, 0.9580, dan akhir sekali paras terendah 28 September lalu iaitu 0.95. Sasaran bear yang seterusnya adalah 0.9500. Bull akan berhadapan dengan rintangan pada paras 1.0375, 1.0470, 1.0620, 1.0750, 1.0865, 1.0935.
Tumpuan untuk minggu hadapan termasuklah penyiaran data KDNK di Eurozone pada hari Selasa, 15 November. Kadar Indeks Sentimen Ekonomi ZEW di Jerman dan juga Indeks Harga Pengeluar (PPI) di AS akan dikeluarkan pada hari yang sama. Data jualan runcit di AS akan diketahui pada hari Rabu, 16 Oktober, manakala pasaran akan menantikan pengumuman indikator kadar inflasi yang penting seperti kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Eurozone pada hari Khamis, 17 November. Disamping itu, Presiden ECB iaitu Christne Lagarde dijadual akan memberikan ucapan beliau pada 16 dan 18 November.
GBP/USD: Ekonomi di UK Mengalami Kegawatan
- Jika diingat Bank of England telah menaikkan kadar utama mereka sebanyak 0.75%, daripada 2.25% kepada 3.00% semasa bermesyuarat pada 3 November lalu, sama seperti yang dilakukan oleh Rizab Persekutuan. Langkah ini adalah kenaikan sekali tertinggi sejak lewat tahun 1980-an. Dalam masa yang sama, ketua Bank of England (BoE), Andrew Bailey berkata pada hari Jumaat, 11 November bahawa “lebih banyak kenaikan kadar faedah mungkin akan dibuat pada beberapa bulan lagi” serta “usaha untuk membendung inflasi mungkin akan mengambil masa 18 bulan hingga dua tahun.” Silvana Tenreiro, antara ahli Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank Negara British telah mengumumkan tempoh yang hampir sama. Menurut beliau, polisi kewangan akan dilonggarkan, mungkin pada tahun 2024.
Walau bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana dan berapa banyak kenaikan kadar faedah pound yang akan BoE lakukan. Data KDNK di United Kingdom telah dikeluarkan pada minggu lalu, walaupun lebih rendah berbanding -0.5% yang diunjur, kadarnya masih susut ke zon negatif, menunjukkan kelembapan ekonomi sebanyak -0.2% pada Q3. Ini adalah penurunan kali pertama dalam tempoh 6 suku tahunan, dan nampaknya ia telah memulakan keruntuhan negara itu ke dalam kancah kegawatan yang panjang, mengikut Bank of England, jika pengetatan kuantitatif (QT) terus dibuat, ianya akan berterusan kira-kira 2 tahun.
Pakar ekonomi di Bank of America Global Research telah menganalisis bagaimana harga bahan api dan juga kadar kelajuan bank-bank persekutuan menormalkan polisi mereka akan memberi kesan kepada mata wang G10. Keputusannya, mereka menyimpulkan bahawa dinamik keseimbangan bayaran akan menjadi penghalang kepada mata wang seperti euro, dolar New Zealand dan juga pound British pada tahun 2023.
Dalam pada itu, berlatarbelakangkan data kelembapan kadar inflasi di AS, pasangan GBP/USD dan juga EUR/USD naik ke atas, menerima hampir 555 mata sepanjang minggu lalu dan mencecah kedudukan tertinggi mingguannya pada paras 1.1854. Kedudukan apabila sesi dagangan berakhir adalah 1.1843. Menurut pakar strategi di bank pelaburan Amerika Brown Brothers Harriman (BBH), pound mungkin akan menguji semula paras 26 Ogos lalu iaitu 1.1900 tidak lama lagi.
Bagi unjuran median para penganalisis untuk masa terdekat, 25% bersetuju dengan bull, 35% memihak kepada bear, dan baki 40% penganalisis lagi lebih senang untuk kekal neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, 100% berada di bahagian hijau, dan 25% daripadanya menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian. Dalam kalangan indikator trend, situasinya sama seperti yang dihadapi EUR/USD: nisbahnya adalah 85% kepada 15% yang memihak warna hijau. Paras dan zon sokongan bagi mata wang British: 1.1800-1.1830, 1.1700-1.1715, 1.1645, 1.1475-1.1500, 1.1350, 1.1230, 1.1150, 1.1100, 1.1060, 1.0985-1.1000, 1.0750, 1.0500 dan paras terendah 26 September lalu iaitu 1.0350. Jika pasangan ini bergerak ke atas, bull akan berhadapan rintangan pada paras 1.1900, 1.1960, 1.2135, 1.2210, 1.2290-1.2330, 1.2425 dan 1.2575-1.2610.
Untuk peristiwa yang bakal berlaku minggu hadapan, data pengangguran dan juga penggajian di UK yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 15 November menarik perhatian kami. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) akan diketahui keesokan harinya, pada hari Rabu, 16 November, hari yang sama Laporan Inflasi di UK akan dikeluarkan. Data jualan runcit di United Kingdom akan disiarkan pada hari terakhir minggu bekerja, pada hari Jumaat, 18 November.
USD/JPY: Yen yang Kukuh Melemahkan Dolar
- Telah terbukti bahawa penyusutan nilai dolar masih belum lagi memintas kadar USD/JPY, dan disebabkan itu, kedudukannya kembali ke paras ia berada pada akhir Ogos - awal September 2022. Paras terendah minggu lalu telah direkodkan pada hari Jumaat, 11 November pada paras 138.46, dan pasangan ini mengakhiri minggu pada paras 138.65. Jelas menunjukkan bahawa dinamik seperti itu bukanlah disebabkan oleh pengukuhan nilai yen dan juga campur tangan kewangan pihak Bank of Japan (BoJ), tetapi penyusutan nilai dolar secara amnya.
Jika diingat setelah pasangan USD/JPY mencecah 151.94 pada 21 Oktober lalu, mencapai paras tertinggi sejak 32 tahun, pihak BoJ menjual sekurang-kurangnya $30 bilion bagi memberi sokongan kepada mata wang negara itu. Kemudian campur tangan tersebut berterusan.
Menteri Kewangan iaitu Shinichi Suzuki berkata pada 4 November bahawa pihak kerajaan tidak berniat untuk meletakkan mata wang mereka pada kedudukan tertentu menerusi campur tangan. Kadar tukaran seharusnya bergerak dengan stabil bagi mencerminkan indikator fundamental. Namun kini dolar telah mengalami kerugian hampir 800 mata dalam masa beberapa hari tanpa sebarang kos kewangan oleh Bank of Japan, dan juga tanpa sebarang perubahan fundamentl daripada ekonomi Jepun. Semua ini berlaku semata-mata kerana jangkaan pihak Rizab Persekutuan akan mengurangkan kadar kecepatan dalam menaikkan kadar faedah mereka.
Bagaimana jika mereka tidak memperlahankannya? Adakah pihak Bank Persekutuan Jepun akan memutuskan untuk masuk campur sekali atau lebih banyak lagi? Adakah mereka memiliki wang yang cukup untuk campur tangan? Alat kedua untuk menyokong yen iaitu kadar faedah mungkin tidak akan digunakan kerana Bank of Japan tidak akan mengubah pendirian mereka daripada kadar tukaran yang sangat longgar dan akan mengekalkannya pada paras negatif -0.1%.
Hakikat bahawa dolar akan cuba untuk sekurang-kurangnya pulih daripada kerugian tidak lama lagi dan pasangan USD/JPY akan bergerak ke atas telah dijangka oleh 65% penganalisis. Baki 35% lagi bersetuju dengan mengikuti trend ke bawah. Untuk pengayun pada D1, gambarannya adalah seperti berikut: 80% menunjukkan penurunan, satu pertiga daripadanya berada di zon lebihan jualan, manakala 20% lagi menunjukkan pertumbuhan. Dalam kalangan indikator trend, nisbah antara warna hijau dan merah adalah 15% dan 85% yang memihak kepada warna merah. Paras sokongan kukuh terdekat berada di zon 138.45, diikuti dengan paras 137.50, 135.55, 134.55 dan juga zon di antara 131.35-131.75. Paras dan zon rintangan: 139.05, 140.20, 143.75, 145.25, 146.85-147.00, 148.45, 149.45, 150.00 dan 151.55. Tugas utama bull adalah untuk naik dan berada di atas paras 152.00. Kemudian terdapat paras tertinggi pada tahun 1990 iaitu di sekitar 158.00.
Untuk penyiaran statistik makro mengenai keadaan ekonomi di Jepun, kami boleh tandakan hari Selasa, 15 November minggu hadapan apabila data kadar KDNK bagi Q3 2022 di negara tersebut akan dikeluarkan. Mengikut unjuran, kadar KDNK akan susut daripada 0.9% kepada 0.3%. Jika unjuran ini benar-benar berlaku, ia akan menjadi satu lagi hujah yang akan menyebelahi kepada pengekalan kadar faedah pada paras negatif yang sama oleh Bank of Japan.
MATA WANG KRIPTO: Dua Perkara yang Menceriakan Minggu
- Minggu lalu berkisarkan kepada dua perkara. Perkara pertama menyebabkan para pelabur kemurungan, perkara kedua memberi harapan tidak semuanya berada dalam keadaan teruk. Jadi, kita bincangkan satu persatu.
Kisah No.1 adalah berita bursa FTX yang jatuh muflis. Setelah krisis likuiditi yang dialami oleh Alameda Research, syarikat dagangan kripto yang dimiliki oleh CEO FTX iaitu Sam Bankman-Fried diketahui umum, CEO Binance iaitu Chang Peng Zhao mengeluarkan kenyataan berhubung penjualan token FTT. Jika diingat FTT adalah token yang dihasilkan oleh kumpulan FTX, dan tindakan Chang Peng Zhao itu dengan serta-merta mengakibatkan penyusutan mendadak nilai FTT. Pengguna FTX beramai-ramai mula cuba mengeluarkan simpanan mereka. Kira-kira satu bilion dolar dalam bentuk mata wang kripto dan stablecoin telah dikeluarkan dari bursa itu, baki yang dimilikinya selepas itu adalah negatif. Selain daripada FTT, nilai Sol dan lain-lain token daripada projek Solana yang berkait dengan FTX dan Alameda juga jatuh mendadak.
Mata wang kripto lain turut terkesan dengan kejatuhan nilai tersebut. Para pelabur tidak mahu melihat sebarang kegagalan berlaku dalam aset berisiko, dan mereka takut kejatuhan sebuah syarikat akan menimbulkan kesan domino yang akan menggugat kewujudan syarikat-syarikat lain.
Maklumat menggalakkan telah diberi oleh ketua Binance: Chang Peng Zhao membuat pengumuman pada 8 November bahawa bursa milik beliau akan membeli bursa FTX yang muflis. (Mengikut sesetengah anggaran, jumlah kerugian yang perlu “ditampal” adalah kira-kira $8 bilion. Namun, urus niaga tersebut rupa-rupanya tidak berlaku selepas itu. Sebut harga jatuh lebih rendah. Akibatnya, nilai bitcoin teruk, susut kira-kira 25% daripada nilai pada 10 November: daripada $20,701 kepada $15,583. Nilai Ethereum “mengecil” sebanyak 32%, daripada $1,577 kepada $1,072. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto menurun daripada $1.040 trilion kepada $0.792 trilion.
Tidak ragu-ragu lagi kejatuhan FTX akan memberi lebih banyak tekanan kepada keseluruhan industri untuk dikawal selia. Dalam ulasan sebelum ini, kami mula membincangkan tentang persoalan sama ada penyeliaan pasaran kripto adalah sesuatu yang baik ataupun tidak. Perlu sedia maklum bahawa majoriti pelabur berinstitusi memilih untuk dikawal selia. Sebagai contoh, bank tertua di Amerika, BNY Mellon berkata bahawa 70% daripada pelabur berinstitusi boleh menambah pelaburan mereka di dalam kripto, namun dalam masa yang sama sedang mencari jalan untuk masuk ke dalam pasaran kripto dengan selamat, dan tidak melabur secara membuta tuli dengan harapan mendapat pulangan yang lumayan.
Kenyataan yang hampir sama telah dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Produk MasterCard iaitu Michael Miebach baru-baru ini. Pada pendapat beliau, aset dalam kelas ini akan menjadi lebih menarik kepada masyarakat kebanyakan apabila pihak berkuasa penyeliaan memperkenalkan undang-undang yang bersesuaian. Kebanyakan orang mahukannya tetapi tidak tahu bagaimana untuk masuk ke dalam industri kripto dan cara untuk memberi perlindungan maksimum terhadap aset milik mereka.
Bagi kisah No. 2 yang telah disebut pada permulaan ulasan ini, ia adalah berkenaan kadar inflasi di AS yang dikeluarkan pada hari Khamis, 10 November. Rupa-rupanya, kadar inflasi menurun, dan pasaran menyimpulkan bahawa Rizab Persekutuan mungkin akan melambatkan kenaikan kadar faedah. Kadar indeks dolar DXY turun dengan serta-merta, manakala nilai aset berisiko bertambah. Korelasi antara mata wang kripto dan indeks saham S&P500, Dow Jones dan Nasdaq yang terputus semasa keruntuhan FTX telah hampir pulih (namun tidak sepenuhnya), manakala sebut harga BTC, ETH dan lain-lain aset digital juga mula bertambah.
Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 11 November, BTC/USD didagangkan di sekitar $17,030, ETH/USD pula pada kadar $1,280. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $0.860 trilion ($1.055 trilion pada minggu lalu). Kedudukan Indeks Fear & Greed Kripto jatuh semula ke zon Extreme Fear pada bacaan 21 mata dalam masa tujuh hari.
Cumberland, cabang kripto bagi firma modal teroka DRW percaya bahawa “trend menaik yang cerah” telah wujud dalam pasaran aset digital yang tidak menentu. “Lonjakan nilai dolar yang dilihat tidak dapat dielakkan daripada berlaku pada awal tahun ini telah memusnahkan sentimen terhadap kesemua kelas aset berisiko yang utama,” jelas firma tersebut. “Lonjakan ini nampaknya sudah mencapai kemuncaknya, mungkin disebabkan oleh keputusan Rizab Persekutuan yang dijangka akan mengubah pendirian mereka menjelang pertengahan tahun 2023.”
Setelah menganalisis pergerakan harga bitcoin sebelum ini, termasuklah paras tertinggi dan terendahnya sejak November 2021, penganalisis kripto iaitu Moustache membuat kesimpulan bahawa mata wang kripto sedang menunjukkan “corak megafon bullish.” Pada pendapat beliau, model yang dikembangkan dan nampak seperti sebuah megafon atau segitiga simetri terbalik itu menunjukkan bahawa nilai bitcoin boleh mencecah sehingga $80,000 menjelang musim panas 2023.
Bagi jangkaan masa terdekat, sesetengah penganalisis percaya bahawa bitcoin boleh berada semula pada paras sokongan kritikal menjelang hujung tahun 2022 dan malah mungkin mencapai ketinggian $25,00.
Jumlah ketiadaan bitcoin di pasaran, serta jumlah emas digital itu dalam walet pelabur jangka masa panjang kripto telah mencecah nilai tertinggi sepanjang lima tahun. Ini bermakna bekalan mata wang kripto yang aktif di pasaran semakin berkurang, menjanjikan prospek harga yang optimis, dengan syarat permintaan bertambah atau kekal sama.
Menurut hartawan Tim Draper, golongan wanita akan menjadi pendorong utama dalam pasaran bull yang seterusnya, kerana mereka mengawal kira-kira 80% daripada perbelanjaan runcit. “Anda masih belum boleh membeli makanan, pakaian dan barangan rumah dengan bitcoin lagi, tetapi jika ada pilihan itu, tiada sebab untuk membelinya dengan menggunakan mata wang fiat,” beliau berkata, menjangkakan harga mata wang kripto pertama itu naik kepada $250,000 menjelang pertengahan tahun 2023. Perlu sedia maklum bahawa jangkaan ini bukanlah sesuatu yang baru sama sekali. Pada tahun 2018, Draper menjangkakan $250,000 adalah nilai bitcoin menjelang tahun 2022, mengubah unjurannya kepada awal tahun 2023 pada musim panas 2022, dan kini memanjangkan tempohnya kepada enam bulan lagi.
Akhir sekali, sedikit maklumat dari dunia jenayah. Lebih-lebih lagi, ia bukan saja melibatkan sesuatu perkara pada masa hadapan, tetapi juga pada masa lalu dan juga masa sekarang, dan sangat penting untuk kita semua. Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia (ASIC) telah mengkaji kes-kes penipuan mata wang kripto dan telah membahagikannya kepada tiga kategori. Kategori penipuan pertama adalah mangsa percaya bahawa mereka melabur dalam aset yang sah. Walau bagaimanapun, aplikasi, bursa atau laman web kripto tersebut adalah palsu. Kategori penipuan kedua pula melibatkan token kripto palsu yang diguna untuk memudahkan aktiviti penggubahan wang haram. Kategori ketiga melibatkan penggunaan mata wang kripto untuk menipu proses pembayaran.
ASIC berkata tanda-tanda penting dalam penipuan kripto termasuklah “tiba-tiba ditawarkan sesuatu,” “iklan selebriti palsu,” dan meminta “teman romantik yang hanya dikenali di alam maya” untuk menghantar wang dalam bentuk kripto. Tanda amaran lain termasuk juga meminta bayaran untuk perkhidmatan kewangan dalam bentuk kripto, meminta bayaran lebih untuk mengakses wang, menahan pulangan pelaburan “untuk tujuan pencukaian” atau menawarkan “wang percuma” atau pendapatan pelaburan “terjamin”.
Umumnya, seperti yang dikatakan oleh Adventus Caesennius, pewaris Imperial Legion dari permainan komputer The Elder Scrolls V: Skyrim: “Sentiasa berwaspada. Lambat laun ia akan memberikan kesenangan."
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali